Ciri-ciri Claymore Claymore (manga)

Muka hadapan jilid pertama menunjukkan Clare memegang sebilah claymore

Oleh kerana baka kacukan mereka, Claymore mempunyai kekuatan, kepantasan dan refleks jauh lebih hebat berbanding manusia biasa. Disebabkan tahap kekuatan mereka, para Claymore mampu bersenjatakan sebilah pedang claymore yang berat menggunakan sebelah tangan sahaja. Tambahan pula, Claymore mempunyai keupayaan untuk menyembuhkan diri dan daya ketahanan badan dengan pantas sekali, membenarkan mereka untuk terselamat daripada kecederaan-kecederaan melampau contohnya seperti pengeviseratan. Apa jua luka atau kecederaan yang tidak membunuh mereka akan sembuh sepenuhnya dalam beberapa jam. Claymore yang berbakat untuk pertumbuhan, seperti Deneve, juga berupaya untuk "menumbuhkan" semula seluruh anggota tubuh dalam beberapa minit. Keupayaan-keupayaan tersebut, jika digabungkan bersama-sama latihan berlawan dan senjata, membolehkan para Claymore untuk bertarung dengan tahap yang sama dengan kebanyakan Yoma.

Di samping tahap kekuatan mereka yang tinggi, salah satu keupayaan para Claymore yang diketahui ramai (juga paling disanjungi pelanggan-pelanggan mereka) adalah kemampuan mereka untuk mengesan Yoma. Ini dicapai apabila 'Yoki' (妖気) dikesan, iaitu "tenaga kehidupan" golongan Yoma. Seorang Claymore boleh mengesan Yoki seorang Yoma dari beberapa batu jauhnya, bergantung kepada kemahiran Claymore tersebut. Clare sendiri telah membuktikannya kebolehannya mengesan sisa-sisa Yoki pada manusia yang berhubungan dengan Yoma.

Kesemua keupayaan seorang Claymore adalah bergantung pada pengawalan Yoki tubuhnya. Dengan mengatur jumlah Yoki yang digunakan atau menyetempatkannya pada bahagian-bahagian badan/fungsi yang tertentu, para Claymore mampu menambah sifat-sifat fizikal mereka yang sudakhpun berupa luar biasa, ataupun menggunakan beberapa kebolehan eksotik. Claymore biasa selalunya akan melepaskan peratus Yoki yang lebih tinggi berbanding Yoki keseluruhan mereka, menyebabkan penambahan dalam asas kekuatan, kepantasan, dan penyembuhan. Jika seorang Claymore melepaskan 10% daripada kuasa mereka, mata mereka akan bersinar warna emas. Apabila mereka melepaskan 30%, muka mereka akan mula berkerut. Jika mereka melepaskan 50%, tubuh badan mereka mula berubah. Melepaskan peratus Yoki yang tinggi (melebihi 80% tenaga keseluruhan badan mereka), maka, badan mereka mulai Bangkit (lihat di bawah). Claymore tahap tinggi selalunya menunjukkan kebolehan mengawal dengan lebih baik dan mempamerkan kuasa-kuasa yang unik, seperti Quicksword (pedang pantas) Ilena, ataupun kebolehan Helen untuk memanjangkan tangannya.

Claymore memerlukan bekalan makanan yang sedikit untuk terus hidup berbanding manusia. Mereka hanya perlu makan beberapa cebisan makanan dalam beberapa hari, dan jika perlu, mereka mampu bertahan selama seminggu tanpa sebarang jenis makanan. Mereka secara umumnya dilihat berehat dengan melekatkan pedang claymore mereka ke dalam tanah dan bersandar di sampingnya, tanpa berbaring dasar ataupun di atas katil. Menurut suatu babak dengan Teresa, ini disebabkan tabiat para Claymore. Dalam soal paras fizikal mereka, Claymore berupa manusia sepenuhnya kecuali mata dan rambut mereka yang berwarna perak (sesetengah Claymore yang lemah mampu menyimpan sebahagian warna asal rambut mereka). Di bahagian hadapan perut mereka, walaupun mempunyai bentuk normal, dengan sebab-sebab tertentu kelihatan cacat. Namun begitu, sebab kemunculan kecatatan itu dan sama ada ianya adalah sama untuk setiap Claymore, tidak diketahui sama sekali.

Hampir setiap Claymore dicipta berlawanan dengan kemahuan mereka; menjadi Claymore kerana mereka tidak lagi mempunyai kaedah lain untuk meneruskan kehidupan. Ramai daripada mereka terdiri daripada anak-anak yatim, kanak-kanak yang terbiar, ataupun mereka yang terselamat daripada serangan-serangan Yoma di pekan-pekan. Hanya Clare sahaja yang secara rela hati meminta organisasi itu untuk menanam darah dari kepala teresa untuk menjadi seorang Claymore dan membalas dendamnya terhadap Priscilla.

Organisasi Claymore tersebut mempunyai sebuah hierarki yang tegas, di mana setiap Claymore diberikan pangkat berdasarkan purata kekuatan mereka. Claymore #1 adalah yang terkuat, manakala #47 merupakan yang paling lemah (dan kurang dihormati). Bilangan kewujudan Claymore pada setiap masa secara rasminya adalah 47 disebabkan bilangan kuasa serantau di mana para Claymore ditugaskan adalah 47. Claymore menurut arahan daripada mereka yang ditugaskan mengutip bayaran apabila sesuatu tugas itu dilaksanakan dengan berjayanya, dan mereka ini pula menurut arahan daripada majlis kecil yang diketuai beberapa lelaki tua. Walaupun perkataan 'Claymore' ditujukan khas untuk pahlawan-pahlawan organisasi tersebut, sebutan ini pada asalnya tidak digunakan para pahlawan itu sendiri, dan dari awal lagi organisasi tersebut dan pahlawan mereka tidak mempunyai nama rasmi. Maka, kebanyakan Claymore jarang merujuk diri mereka sebagai 'Claymore'.

Pada asalnya, kebanyakan pahlawan Claymore adalah kaum lelaki, tetapi suatu penemuan telah dibuat tidak lama kemudian, di mana melepaskan Yoki adalah memuaskan bagi lelaki. Disebabkan ini, mereka sukar untuk mengawal lepasan Yoki mereka dan menjadi golongan Bangkit dengan cepat. Maka, semua pahlawan Claymore yang baru dihasilkan adalah kaum wanita.

Perubahan Fizikal

Dari segi rupa paras fizikal, Claymore kelihatan seperti manusia biasa kecuali mata mereka yang berwarna perak dan rambut mereka yang mempunyai warna-warna cerah (Claymore yang terlalu lemah dapat menyimpan warna rambut mereka). Suatu anggapan telah dibuat mengatakan bahawa mereka meluntur dan mencelup warna rambut mereka sendiri, disebabkan pemikiran Teresa yang mendedahkan bahawa rambut asalnya berwarna hitam, namun berwarna hijau sebagai Claymore.

Dalam jilid ketiga manga Claymore, Teresa, Claymore yang telah menemani dan menjaga Clare, dikelilingi oleh sekumpulan perompak yang ingin melepaskan keinginan mereka untuk merogolnya. Dia mendedahkan tubuh badannya kepada mereka, dan ramai yang telah menyoal tentang apa yang dilihat mereka adalah benar ataupun tidak, namun mereka semua berasa jijik lalu meninggalkannya. Clare yang muda memberitahunya bahawa dia semestinya berada dalam keadaan yang selalu menyakitkan atas kesan perubahan tubuh mereka yang tidak diketahui, tetapi Teresa menjelaskan bahawa dia tidak berasa apa-apa. Para Claymore dianggap mempunyai kecacatan yang ketara di tubuh badan mereka selepas apa yang disaksikan para perompak sebelum ini menakutkan mereka.

Walaubagaimanapun, seorang Claymore yang ditonjolkan wataknya dalm bab-bab seterusnya dilihat tanpa sebarang kecacatan pada tubuhnya. Kes ini membawa kepada satu lagi teori yang mengatakan jika seorang Claymore tidak mampu mencederakan manusia, mereka mampu mengubah rupa fizikal tubuh mereka, dan mereka sengaja berbuat demikian untuk menakutkan dan menjijikkan manusia yang ingin merogol mereka, justeru menghalangnya daripada berlaku.

Dengan bukti yang bercanggah dengan teori ini yag wujud dalam manga, kemungkinan besar pengarang telah terlupa atau telah membuang bahagian plot ini untuk memudahkannya melakar watak-watak.

Gaya Serangan

Dalam Jilid #7, Ophelia mendedahkan dua kategori yang boleh dicapai dalam serangan keberanian Claymore: Gaya offensive (menyerang) dan gaya defensive (melindung). Asas gaya serangan seorang Claymore menentukan keupayaan penyembuhannya. Menurut Ophelia, pertarungan seorang Claymore ditentukan oleh "semangat ingin menang melalui kemahuan untuk hidup, atau dengan membunuh lawannya." Dalam penjelasan yang lebih mendalam dalam Jilid #10 oleh Deneve, kekuatan naluri seorang Claymore untuk terus hidup akan menentukan gaya serangan yang akan digunakannya. Lebih kuat keinginannya untuk meneruskan kehidupan, lebih tinggi kemungkinan gaya serangannya ke arah defensive.

Kategori defensive membantu para Claymore dengan kebolehan penyembuhan yang menakjubkan. Antara ciri yang menarik ialah apabila seorang Claymore kehilangan mana-mana anggota badannya dan berpengetahuan menumbuhkannya semula, bahagian yang digantikan tersebut akan mempunyai kekuatan asalnya. galatea, Veronica, Cynthia, Deneve dan Yuma tergolong dalam kategori ini.

Mereka yang berada dalam kategori offensive berupaya melakukan serangan-serangan yang lebih kuat. Walaupun begitu, mereka tidak berupaya untuk menumbuhkan anggota bahagian mereka dengan begitu berkesan. Jika seorang Claymore dalam kategori ini kehilangan mana-mana bahagian tubuhnya dan berpengetahuan menumbuhkannya semula, bahagian yang digantikan tersebut mempunyai kekuatan yang sama dengan manusia biasa. Clare, Ophelia, Rafaela dan Ilena tergolong dalam kategori ini. Namun begitu, mereka mampu menyambung semula mana-mana bahagian yang baru-baru terkerat atau cedera.

Pakaian Seragam

Claymore memakai pakaian seragam yang terdiri daripada sehelai baju lengan panjang dan seluar berwarna kelabu yang dipasang ketat pada tubuh badan. Claymore dengan kebolehan mengubah badan menggantikan sebahagian atau semua pakaian tersebut dengan sejenis bahan hitam yang boleh diregangkan untuk menurut perubahan. Mereka kemudian memakai beberapa kepingan perisai, but-but yang diperbuat daripada logam (kasut mereka agak bertumit-tinggi), pelindung lengan tangan, bahagian pelindung bahu yang besar dan skirt pendek. Akhir sekali, mereka memakai jubah pendek dan sejenis fabrik bertandakan simbol pengesahan tertentu seorang Claymore itu yang terletak di leher mereka.

Kad Hitam

Dalam setiap pemegang pedang seorang Claymore terdapat segulung kad hitam bersertakan simbol pemiliknya. Jikalau seorang Claymore itu merasakan dirinya di pinggir pembangkitan dan kejadian ini tidak mampu dihalangnya, kad hitam ini akan dikeluarkan dan diberikan kepada penjaganya untuk dihantar kepada Claymore yang dipilih. Para Claymore yang menerima kad hitam ini, selalunya mereka yang rapat dengan pemberi, akan berjumpa dengan rakan mereka di suatu tempat yang ditetapkan dan sekaligus membunuh Claymore itu, membenarkannya mati sebagai seorang manusia dan bukan sebagai raksasa yang mereka buru.

Berkaitan